Pembangunan SAF Kunci Kepada Aktiviti Penerbangan Mampan

KHAMIS, 9 JUN 2022

KUCHING: Sarawak kini mengorak langkah bagi membangunkan pengeluaran bahan api alternatif bagi penggunaan kapal terbang seperti bahan api penerbangan mampan atau ‘Sustainable Aviation Fuel’ (SAF).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, SAF mampu menjadi kunci kepada aktiviti penerbangan yang mampan dalam usaha beralih ke penggunaan bahan api rendah karbon serta menyahkarbon industri penerbangan.

“Kita hendak memastikan bahawa pengeluaran SAF ini bukan sahaja mengambil kira pengurangan gas rumah hijau, malahan juga jumlah penggunaan sumber air dan tanah yang bersesuaian untuk membuat bahan api tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea 2022 di Hotel Waterfront di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Premier Sarawak mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada Republik Korea ke arah masa depan berlandaskan SAF yang turut mampu memberikan manfaat lain dari segi sosial, alam sekitar dan juga ekonomi. 

Sementara itu, beliau difahamkan, syarikat penerbangan Korean Air akan menggunakan SAF untuk laluan penerbangan antara Paris dengan Seoul di mana ia bakal mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus.

“Bagi pihak Sarawak pula, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sedang berkolaborasi dengan Airbus serta Rolls Royce melalui Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam membuat penyelidikan serta pembangunan ke atas hidrogen hijau serta sel bahan api sebagai sumber bahan api bagi kapal terbang.

“Kerjasama ini adalah sebagai langkah seterusnya untuk membangunkan bahan api bio untuk industri penerbangan yang bermatlamat mencapai pelepasan karbon sifar bersih,” ujarnya lagi.

Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea 2022 diadakan untuk mengumpulkan semua pihak berkepentingan dalam bidang tenaga di samping meneroka potensi kerjasama antara Sarawak dengan Republik Korea dalam sektor tenaga khususnya tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

Lebih 100 orang dari Korea dan juga Sarawak melibatkan komuniti awam dan perniagaan telah menyertai forum berkenaan bagi meneroka serta mewujudkan kerjasama strategik antara Sarawak dan negara tersebut.

Turut diadakan majlis menandatangani kontrak Projek Semadang Grid Mikro di antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Konsortium Korea sambil disaksikan Datuk Patinggi Abang Zohari serta Duta Besar Republik Korea Ke Malaysia, Tuan yang Terutama Lee Chi Beom.

Majlis menandatangani kontrak itu melibatkan Sarawak Energy Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datu Sharbini Suhaili dan disaksikan Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Komersil dan Undang-Undang, George Chapman, Naib Presiden Nuri Flex Co. Ltd, Kim Han Soo dan disaksikan Pengarah, Beck Jun Seon dan Ketua Pegawai Eksekutif KH Shinhwa SnC Co. Ltd, Min Jong Ki serta disaksikan Pengarah, Kang Seong Wook. 

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian; Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Republik Korea dan Taiwan), Dato Sri Richard Riot Jaem; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni dan Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel. -Edisi UKAS

add comment