Program Laman Ilmu Bakal Beri Manfaat Kepada 272 Murid Rumah Panjang

KHAMIS, 9 JUN 2022

SIBU: Program Laman Ilmu telah dilancarkan di 22 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 272 orang murid di rumah panjang.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee di Rumah Panjang Maxwell Batu 13 Jalan Oya pada Khamis. 

Menurut Dr Annuar, program tersebut akan dapat membantu murid-murid rumah panjang yang ketinggalan dalam pelajaran ketika COVID-19 melanda negara.

Tambahnya, hal ini berikutan kurangnya keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) terutama kepada murid tahun 1 hingga 3.

Dalam pada itu ujarnya, melalui program tersebut murid-murid rumah panjang di DUN Nangka akan menikmati kelas tambahan secara percuma empat kali seminggu selama dua jam dari pukul 7 hingga pukul 9 malam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar ibu bapa turut memandang serius perkara tersebut dan memastikan anak mereka hadir ketika program tersebut dijalankan.

Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa pihaknya turut komited dalam membantu menjayakan program tersebut dengan memberikan bantuan dari segi keperluan seperti buku dan kemudahan bagi sesi pembelajaran dijalankan.

Antara sumbangan yang diberikan adalah food basket kepada setiap pintu rumah dan sumbangan kepada 9 orang penduduk yang berusia 70 tahun ke atas bersempena perayaan Hari Gawai juga turut diberikan.

Selain itu, Dr Annuar turut menyerahkan Watikah Perlantikan Jawatankuasa Pemantuan Program Laman Ilmu Rumah Panjang DUN N.55 Nangka kepada yang telah pun dilantik dalam jawatankuasa tersebut.

Difahamkan, strategi dan pelaksanaan program adalah diadakan di rumah panjang yang akan turut dibantu oleh tuai rumah dan ahli-ahlinya dari segi penyediaan tempat, bermula pada waktu malam selama 32 minggu mulai bulan Jun 2022 hingga Februari 2023 dan berkonsepkan pembelajaran kendiri dan disediakan guru pembimbing sebagai jururujuk.-EDISI UKAS

add comment