Republik Korea Pengimport Ketiga Terbesar LNG Dari Sarawak

KHAMIS, 9 JUN 2022

KUCHING: Republik Korea merupakan negara ketiga terbesar, selepas Jepun dan China, yang mengimport gas asli cecair (LNG) dari Sarawak.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak telah mengeksport 4.9 juta tan LNG dengan nilai sebanyak RM5.9 bilion kepada negara tersebut pada tahun 2020.

Katanya, Sarawak dan Republik Korea telah menjalin hubungan yang baik sejak tahun 1970-an lagi.

“Hubungan itu kini menjadi lebih penting selaras dengan pembangunan sektor tenaga yang berlaku beberapa tahun ini.

“Sebagai contoh, kita telah memberikan kontrak bernilai 1.07 bilion Dolar Amerika Syarikat kepada Samsung Engineering Co. Ltd. untuk menyediakan perkhidmatan pelesenan, kejuteraan, perolehan, pembinaan serta pentauliahan (LEPCC) untuk projek metanol Sarawak di Tanjung Kidurong Bintulu,’’ jelasnya pada Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea 2022 di Hotel Waterfront di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak memberitahu, negeri ini turut memposisikan diri sebagai kuasa besar di Asia Tenggara dengan menyediakan tenaga mampu milik, boleh dipercayai dan juga boleh diperbaharui.

“Sarawak akan mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus kapasiti penjanaan kuasa campuran dengan sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030,’’ ujarnya.

Beliau percaya, penekanan kepada penggunaan tenaga lestari adalah penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan. -Edisi UKAS

add comment