IRSDA, Pendekatan Rancakkan Pembangunan Bahagian Samarahan

JUMAAT, 10 JUN 2022

KUCHING: Penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) merupakan di antara pendekatan baharu Kerajaan Sarawak untuk memacu dan merancakkan lagi pembangunan di Bahagian Samarahan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan sebanyak RM1.5 bilion kepada IRSDA untuk untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“IRSDA telah diperuntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk merancakkan lagi pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan mempercepatkan lagi pembangunan prasarana di Bahagian Samarahan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di Hotel Raia, Kuching pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga  Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, sebanyak 608 projek telah diluluskan di bawah IRSDA setakat suku kedua tahun 2022.

“Setakat suku kedua tahun 2022 sehingga habis suku pertama, saya difahamkan sudah terdapat sejumlah 608 projek dibawah IRSDA.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 201 projek telah siap dilaksanakan, 86 projek masih lagi dalam pelaksanaan dan 200 projek lagi masih dalam peringkat perancangan.

“Manakala 121 projek yang lain akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini dan suku pertama 2023,” katanya.

Hadir sama dalam majlis perasmian itu adalah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abg Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I (Pembangunan Infrastruktur) Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian Datuk Mohd Naroden Majais dan Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu.-EDISI UKAS

add comment