Kawasan Muara Payang Akan Dibangunkan Dengan Infrastruktur Asas

JUMAAT, 10 JUN 2022

SARIKEI: Kawasan Muara Payang di sini telah dikenalpasti akan dibangunkan dengan infrastruktur asas yang diperlukan selari dengan kesinambungan projek jalan dan Jambatan Pasi dari Sarikei ke Tanjung Manis yang sedang giat dilaksanakan sekarang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata meskipun pelaksanaan projek akan mengambil sedikit masa namun ia akan dilaksanakan kerana memahami kesukaran dialami oleh rakyat yang memerlukan infrastruktur untuk menjalani kehidupan seharian.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menuntut semua penduduk agar sentiasa teguh dan dapat bekerjasama dengan baik agar pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Berucap semasa Program Ngiling Bidai di Rumah Muli, Muara Payang pada Jumaat.

Antara permintaan penduduk di kawasan Muara Payang ialah mempercepatkan projek jalan darat menghubungkan Sarikei dan Muara Payang serta bekalan air bersih terawat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dalam ucapannya turut berterima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh penduduk Muara Payang dan turut memohon agar penduduk bersabar kerana semua projek yang diminta oleh rakyat seperti bekalan air bersih dan jalan raya sedang dalam perancangan khususnya untuk kawasan Muara Payang.

Sementara itu, penduduk Iban di kawasan Muara Payang amat berterima kasih kepada Datu Len dan Ir Yusuf atas pelbagai pembangunan yang telah dilaksanakan membolehkan rakyat meraikan sambutan Gawai dengan penuh kegembiraan.

Dalam pada itu, ketika berucap semasa menghadiri Program Ngiling Bidai di Rumah Lidang, Kerubong pada sebelah petang, Datu Len berkata pembangunan infrastruktur di seluruh kawasan Kerapa dan Kerubong membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.

Ujarnya, infrastruktur yang dilaksanakan ini sekaligus membantu meningkatkan sosio ekonomi penduduk serta memudahkan pengeluaran hasil produk ke bandar-bandar berdekatan.

Ir Yusuf dalam ucapannya pula menyeru kepada semua agar terus berdiri teguh di belakang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar wakil-wakil rakyat dapat menjalankan tugas mereka dengan lancar untuk kebaikan rakyat.

Beliau juga menyeru kaum Iban agar menjadikan sambutan Gawai sebagai pengukuh perpaduan di kalangan masyarakat khususnya di kawasan Kuala Rajang. – EDISI UKAS

add comment