Kemudahan Infra & Tempat Perniagaan, Keperluan Mendesak Di Matu

JUMAAT, 10 JUN 2022

MATU: Pelbagai projek di kawasan Matu telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sehingga mencapai ratusan juta dalam masa yang singkat.

Demikian jelas Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya semasa berucap di Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 pada Rabu.

Namun begitu ujarnya, kemudahan infra dan tempat perniagaan masih menjadi keperluan mendesak untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Ratusan juta projek di kawasan kita telah diluluskan oleh Premier. Ada projek yang telah siap dan ada yang sedang berjalan.Terus terang saya katakan bahawa projek yang sakit hanya sedikit sahaja.

“Tetapi, kita masih perlu untuk terus bekerja kuat kerana keperluan infra masih menjadi keperluan mendesak untuk DUN ini,” katanya.

Sehubungan itu, Dato Juanda telah meminta peruntukan tambahan sebanyak RM8 juta untuk pelaksanaan perancangan pembinaan Masjid Kuala Matu yang akan menjadi lokasi Balai Cerap pertama di Sarawak dan juga bakal dijadikan sebagai tempat persinggahan besar untuk pengguna jalan raya ke utara Sarawak.

“Pada masa yang sama, kita sedang membina tebingan sungai (waterfront) di Pantai Kuala Matu yang akan menjadi daya tarikan pelancong daripada Kapit, Kanowit, Song, Sibu..kemudian yang datang dari arah Sarikei, Sri Aman dan Kuching serta yang berdekatan tidak jauh dari masjid ini kelak.

“Kita bina rumah Allah ini dengan hebat, insyaAllah pasti Allah akan bina istana syurga yang lagi hebat untuk kita di akhirat kelak sebagai bekalan kita menuju alam sana,” jelas beliau.

Dalam ucapan sama, tambah beliau, terdapat dua lagi cadangan tempat untuk dibuat jalan raya di dalam kampung dengan segera.

“Pertama, di Sekaan Besar,Pasar Lama ke Kampung Bertong sejauh 1.6 kilometer dengan anggaran Jabatan Kerja Raya (JKR) berjumlah RM21 juta.

“Kedua, melibatkan jalan Kampung Jemoreng Baharu sejauh 1.9 kilometer, bernilai RM23.6 juta.

“Pihak kami mencadangkan ada jalan baru di belakang kampung untuk membuka kawasan perkampungan berkenaan,” jelas beliau.

Permintaan itu juga termasuk anggaran sebanyak RM10 juta bagi membaik pulih bangunan pejabat lama daerah Matu agar diubah menjadi Anjung Usahawan untuk keperluan aktiviti ekonomi.

“Saya cadangkan bangunan pejabat lama daerah Matu yang masih bagus itu dibaik pulih, diubah menjadi Anjung Usahawan dan di bahagian bawahnya nanti boleh ditawarkan kepada Operator Pasaraya (Supermarket) untuk beroperasi di situ,” tambahnya.-EDISI UKAS

add comment