Rakyat Cerdik Menilai Dan Memerhati Pemimpin Kuat Bekerja

JUMAAT, 10 JUN 2022

MATU: Selama 40 tahun dalam dunia politik, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg disifatkan sebagai seorang pemimpin yang kuat bekerja.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, rakyat perlu menghargai pemimpin seperti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang bekerja tanpa mengira masa lebih-lebih lagi sejak hari pertama beliau mengambil alih kepimpinan Sarawak.

“Kita semua beruntung kerana boleh bercuti semasa perayaan seperti Hari Raya, Hari Gawai termasuk Hari Keputeraan Agong sehingga mengadu jalan raya sesak dan perkhidmatan feri penuh.

“Namun, Premier kita sanggup melupakan cuti, rehat termasuk masa bersama keluarga. Ini kerana kecintaan luar biasa beliau untuk melihat Sarawak maju.

“Saya bimbang akan kesihatan Premier dan dalam masa sama tertanya-tanya bila agaknya Premier kita berehat? Siang malam pagi petang bekerja, tapi beliau sentiasa “steady”.

“Premier kita 40 tahun sudah di dalam politik dan bekerja tanpa henti. Kerana itu kita perlu hargai memiliki pemimpin yang kuat bekerja seperti ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 pada Rabu.

Pada masa sama, Dato Juanda turut menegaskan bahawa zaman ini merupakan zaman kerajaan mengotakan janji.

Ke arah itu jelasnya, agensi-agensi kerajaan sentiasa bertungkus lumus bekerja siang dan malam bagi memastikan hasrat dan janji Premier Sarawak dikotakan dan menjadi nyata.

“Apa guna jadi pemimpin mahupun wakil rakyat kalau tidak bekerja. Setiap lima tahun kami dipilih, sekiranya tiada hasil, malu.

“Apa guna jika selama lima tahun tiada perubahan, amanah diabaikan, pembangunan tidak dibawa, projek kerajaan tidak diusahakan.

“Ini zaman Yang Berhormat (YB) tidak boleh duduk sahaja. Zaman YB duduk sahaja itu telah berlalu. Kita akui rakyat kita sudah cerdik menilai dan memerhati,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap supaya rakyat akan terus bekerjasama, bersatu hati dan menyokong usaha kerajaan untuk mengekalkan kemakmuran serta memajukan setiap kawasan di Sarawak. -EDISI UKAS

add comment