Samarahan Miliki Potensi Hasilkan Makanan: Premier Sarawak

JUMAAT, 10 JUN 2022

KUCHING: Bahagian Samarahan berpotensi menjadi pusat penghasilan makanan di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sehubungan itu katanya, pertanian moden akan diperkenalkan dan kerajaan Sarawak akan menyediakan infrastruktur pertanian di bahagian ini.

“Kawasan Samarahan ini mempunyai tanah aluvial iaitu tanah yang sesuai untuk tanaman makanan dan pertanian secara moden boleh dilakukan.

“Kita ada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA  (UiTM) di kawasan ini yang boleh membantu sama ada membuatkan makmal dan mengambil mereka yang terlibat dengan pertanian ini sebagai sebahagian daripada penuntut UNIMAS untuk membuat praktikal dan menggunakan cara-cara moden,” katanya.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di Hotel Raia, Kuching pada Jumaat.

Ujar Penaung IRSDA itu lagi, ini akan membantu Sarawak meningkatkan pengeluaran makanan dan menjadi negeri pengeksport makanan.

“Sarawak mempunyai tanah yang luas dan kita mempunyai tenaga kerja yang boleh belajar daripada pakar, sepatutnya pengeluaran makanan kita tinggi dan boleh menjadi pengeksport dan bukannya pengimport makanan,” jelas beliau lagi.

add comment