SABTU, 11 JUN 2022
KUCHING: Seramai 49 peserta telah menerima input pertanian dengan peruntukan berjumlah RM114,000 di bawah Fasa 1 Program Fasilitasi Pertanian (AFF) Parlimen Santubong.
Simbolik penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie bertempat di Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong di sini pada Jumaat.
Antara pelaksanaan Fasa 1 bagi AFF Parlimen Santubong termasuk pemberian unit Tanaman Hidroponik dengan kos sejumlah RM41,000 kepada 38 peserta, Sistem Fertigasi Terbuka bernilai RM18,000 kepada dua peserta, input pertanian dengan peruntukan sejumlah RM25,000 kepada lima peserta, pelaksanaan Program Agro Makanan Pra Tahap 1 dengan kos sebanyak RM10,000 untuk dua perserta dan juga pelaksanaan Program Agro Makanan Tahap 1 dengan kos bernilai RM20,000 untuk dua peserta.
Hadir sama pada simbolik penyerahan input pertanian tersebut ialah Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Kuching, Ahmad Arisa Kachon serta Penghulu Kampung Santubong, Suhaili Kifli.
Program AFF bertujuan menyediakan pelbagai jenis bantuan yang mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup keluarga tani, sekaligus meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menyumbang kepada pendapatan aktiviti eksport negeri Sarawak.
Secara keseluruhan, sebanyak RM1 juta peruntukan telah diluluskan di bawah AFF untuk kawasan Parlimen Santubong. -Edisi UKAS