Aktiviti Memancing Tarikan Pelancong Di Sematan

SABTU, 11 JUN 2022

LUNDU: Sematan berpotensi dijadikan pusat aktiviti memancing bagi perikanan marina sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke situ.

Demikian jelas Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu semasa merasmikan Pertandingan Joran Tanjong Datu ‘Tok Nan Open Sea Fishing Competition 2022’ pada Jumaat.

Menurut Dato Gerald, keadaan cuaca yang baik, persekitaran yang bersih serta kemudahan akses jalan raya juga merupakan faktor utama tarikan pengunjung untuk datang ke Sematan.

Malah katanya, kawasan perairan Lundu dan Sematan menjanjikan habuan yang menarik kepada kaki pancing yang ingin meneroka perairan ini.

Sehubungan itu, Dato Gerald amat menggalakkan para pemancing di dalam perairan tempatan diberikan pendedahan untuk konservasi alam sekitar bagi meneruskan kelestarian alam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan semasa berucap turut berbangga di atas penganjuran pertandingan itu kerana ia bukan sahaja mengimbau kenangan bersama Bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, bahkan sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat.

Di samping itu, beliau juga berharap agar pertandingan ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan di Daerah Kecil Sematan.

Seramai 116 peserta telah menyertai pertandingan itu yang bermula pada Jumaat sehingga Sabtu.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Opar, Bily Sujang dan Residen Bahagian Kuching, Datu Sherrina Hussaini. -EDISI UKAS

add comment