Datuk Roland Sagah Santuni Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai 2022 Di Kampung Sg. Barie

SABTU, 11 JUN 2022

SERIAN: Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai anjuran Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak dengan kerjasama JKKK Kampung Sg. Barie telah berlangsung dengan jayanya pada Jumaat.

Program ini diisi dengan aktiviti gotong-royong mendirikan ranyai, membuat kuih tradisional ‘penganan jala’ dan memasak bersama penduduk kampung pada sebelah siang bagi persediaan untuk aktiviti pada sebelah malam.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, budaya kunjung-mengunjung perlu diteruskan bagi memastikan hubungan silaturahim antara sesama penduduk menjadi semakin erat serta kukuh.

“Saya menyeru agar penduduk Kampung Sg Barie terus bersatu padu dan sentiasa bekerjasama di dalam kampung kerana saya percaya atas faktor kerjasama yang baik inilah kampung ini terpilih untuk program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

“Justeru, saya mengucapkan sekalung tinggi penghargaan dan terima kasih atas jemputan dari Tuai Rumah Sg Barie untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Gawai pada kali ini setelah dua tahun tidak diadakan,” kata beliau.

Pada sebelah malamnya, Datuk Roland Sagah telah menyempurnakan simbolik penyerahan kotak Ngabang Gawai UKAS yang diisi dengan kuih tradisional iaitu ‘penganan jala’ kepada para tetamu yang hadir.

Pada program yang sama, Datuk Roland bersama-sama Ketua Kampung juga telah menyempurnakan upacara ‘Ngetas Ranyai’ dan ‘Ngiling Bidai’ sebagai penutup sambutan Gawai Dayak di Kampung Sg Barie pada tahun ini.

Ketua Kampung Sg Barie, Ambrose Budet Jabu turut mengucapkan terima kasih kepada UKAS kerana telah memilih Kampung Sg Barie untuk menganjurkan program Ziarah UKAS Ngabang Gawai pada tahun ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Residen Bahagian Serian Tuah Suni, Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng dan Pemangku Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari.- EDISI UKAS

add comment