PPK Perlu Berubah Jana Hasil, Tingkatkan Pendapatan Ahlinya

SABTU, 11 JUN 2022

BARAM: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tidak perlu bergantung kepada penghantaran baja sahaja sebagai sumber pendapatan utama.

Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, perubahan perlu dilakukan bagi memastikan pertambahan pendapatan serta dapat bersaing dalam perniagaan dan pengurusan.

“Ini bagi memastikan PPK dan negeri menjadi sebuah entiti yang boleh menjana hasil kepada ahli-ahlinya,” katanya dalam lawatan kerja ke pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baram pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman menegaskan, operasi pemutihan untuk Skim Bantuan Baja Padi perlu dirombak yang bertujuan menambahbaik perkhidmatan PPK agar lebih efisien. 

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Sarawak mahu melihat setiap PPK terlibat dengan lebih aktif dalam bidang perniagaan.

“Ini termasuklah perniagaan e-shop yang berkonsepkan pembelian secara fizikal dan secara dalam talian dengan keterlibatan 28 vendor PPK secara langsung,” ujarnya. 

Turut ditekankan juga Projek Khas seperti penanaman kopi yang amat berpotensi dimajukan dan menjadikan ianya sebagai salah satu produk dari kawasan Baram. 

Pada majlis itu, Datuk Dr Abdul Rahman menyampaikan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada PPK Baram..

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Baram Dennis Ngau mahu masyarakat Baram menjadi ahli dan membeli saham dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi menambah pendapatan keluarga.

Hadir sama Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Baram Lydia Sinan Ajon, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai dan ahli-ahli PPK Baram. -EDISI UKAS 

add comment