SABTU, 11 JUN 2022
SRI AMAN: Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) terus menyantuni masyarakat tempatan bersempena dengan Hari Gawai menerusi Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai 2022 di daerah Pantu.
Pemangku Pegawai Daerah Pantu, Langgong Wasam memberitahu, penganjuran program seumpamanya bertepatan sebagai platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
“Memandangkan saya baru ditempatkan di daerah ini setelah Pantu diisytihar sebagai daerah penuh oleh Premier Sarawak, program sebegini memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan masyarakat tempatan,” katanya ketika menyempurnakan program tersebut di Rumah Sana, Kampung Sungai Merah Hulu di sini pada Jumaat.
Kira-kira 80 orang telah menghadiri program itu dan dihiburkan dengan pengisian pelbagai program antaranya persembahan tradisional kaum Iban iaitu ‘Gendang Pampat’ dan ‘Tarian Ngajat’.
Setiap hadirin turut diberikan pakej bungkusan ‘Door Gift’ yang telah disampaikan oleh Langgong.
Program diakhiri dengan jamuan tengahari dan aktiviti ‘ngiling tikai’ sebelum hadirin melibatkan diri dengan aktiviti nyanyian karaoke.
Hadir sama ialah Penghulu Kawasan Rapak/Pantu, Ubeng Empeni. – Edisi UKAS