Sarawak Akan Jalin Kerjasama Dengan Indonesia Pulihara Hutan Paya Bakau

SABTU, 11 JUN 2022

LUNDU: Sarawak akan menjalinkan kerjasama dengan negara Indonesia untuk memulihara hutan paya bakau yang terdapat di Kepulauan Borneo.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah melakukan perbincangan bersama dengan Konsulat Jeneral Indonesia dari segi pemuliharaan kawasan paya bakau dan penyimpanan karbon.

“Kawasan pesisir Sarawak memiliki hutan paya bakau yang luas iaitu dari Kuching sampai ke Lawas.

“Kawasan Lundu iaitu di Sempadi ini mempunyai ramsar dari kawasan Pantai Damai iaitu daripada Sungai Telaga Air dan Sungai Salak.

“Ini adalah satu kawasan ekosistem hutan paya bakau yang harus kita pertahankan di bawah ramsar dan ini akan  mempunyai mesej yang jelas kepada dunia yang kita memelihara alam sekitar.

“Pada masa yang sama, hutan paya bakau ini adalah satu usaha kita untuk membuat kajian bukan sahaja dari segi penyimpanan karbon tetapi kegunaan produk yang dikeluarkan termasuk apong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Daerah Lundu) di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, Sarawak juga telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sago Dan Nipah bagi mengawal dan menguruskan kawasan hutan paya bakau di kawasan pesisir di negeri ini.

“Ini akan mengawal dan menguruskan kawasan hutan paya bakau kita di kawasan pesisir di mana ia mempunyai potensi untuk menjana pendapatan negeri iaitu produk di kawasan bakau dan simpanan karbon,” jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi.-EDISI UKAS

add comment