Datuk Rubiah Rasmi Program Lan Beduruk Merami Bersama UNIMAS

AHAD, 12 JUN 2022

KOTA SAMARAHAN: Seramai 88 pelajar dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah berkampung di Kampung Tambirat menerusi Program Lan Beduruk Merami Bersama UNIMAS yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Program anjuran FSGK UNIMAS itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang di Dewan Masyarakat Kampung Tambirat di Asajaya pada Sabtu.

Beliau dalam ucapannya menekankan kebersamaan pihak universiti dalam membantu masyarakat setempat.

“Ini penting lebih-lebih lagi di kawasan Kota Samarahan yang dikenali ramai sebagai sebuah kota ilmu.

“Seperti mana yang diberitahu oleh Premier Sarawak, UNIMAS ibarat sebuah makmal kepada masyarakat di sini dan ia merupakan tanggungjawab universiti itu untuk melahirkan graduan berjaya dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Mengambil contoh laporan kajian dari ‘The University of Manchester’ pada tahun 2019, Datuk Rubiah memberitahu, penglibatan universiti telah menyumbangkan 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom serta menjana pendapatan hampir 100 bilion Pound Sterling bagi negara itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, terdapat banyak lagi peluang dan potensi yang boleh diterokai di kawasan Asajaya.

“Ini termasuk produk perikanan, belacan Tambirat, cencalu, gula apong dan produk pelancongan seperti kawasan pinggir laut di Rebak dan Serpan,” jelasnya.

Hadir sama di majlis tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSGK, Dr. Abdul Riezal Dim; Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dan Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang. -Edisi UKAS

add comment