Karnival Kerjaya Wanita Sarawak Inisiatif Memperkasa Penglibatan Wanita Dalam Ekonomi

AHAD, 12 JUN 2022

KUCHING: Karnival Kerjaya Wanita Sarawak merupakan inisiatif Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak ke arah memperkasa dan meningkatkan penglibatan serta penyertaan wanita dalam aktiviti dan peluang ekonomi. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam, karnival ini adalah sebagai landasan bagi menghubungkan wanita dengan pelbagai pihak dari agensi kerjaan dan pihak industri bagi mendapatkan perkhidmatan, peluang pekerjaan seterusnya dapat menjana pendapatan. 

“Kita juga mempunyai rancangan untuk memperluaskan bukan sahaja di bandar malah bercadang bersama pihak kementerian untuk pergi ke kawasan luar bandar juga,” katanya semasa ditemui media di Majlis Penangguhan Karnival Kerjaya Wanita 2022 Siri 2 di Pusat Membeli Belah Plaza Medeka, Kuching pada Ahad. 

Tambahnya lagi, penganjuran karnival ini juga merupakan lanjutan daripada karnival yang telah diadakan di Zon Utara, Miri pada bulan Mac lalu. 

Difahamkan, seramai 443 pemohon pekerjaan telah ditemuduga dan 103 orang pemohon telah berjaya dalam temuduga tersebut. 

Jelas beliau lagi, antara agensi yang terlibat adalah kementerian beliau sendiri serta jabatan di bawahnya, Pertububan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Jabatan Pertanian Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS). 

Selain itu katanya, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) juga turut terlibat dalam program ini. 

Mohamad Razi dalam pada itu mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Wanita, Keluarga Sarawak dan agensi yang turut sama secara strategik atas kejayaan dalam melaksanakan karnival kali ini.-EDISI UKAS 

add comment