AHAD, 12 JUN 2022
KUCHING: Masyarakat Dayak harus memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan yang menyeluruh dan sempurna bagi meningkatkan taraf hidup komuniti itu serta menjadi lebih berdaya saing seiring dengan perubahan zaman.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) harus sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Sarawak ke arah memacu pendidikan cemerlang khususnya dalam kalangan kaum Dayak.
“Kita mahu memastikan pembangunan pendidikan Dayak terus diberi perhatian di seluruh negeri selain melaksanakan program pendidikan luar bandar supaya kita dapat melahirkan lebih ramai golongan muda yang profesional dan berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
“Kita mahu memberikan pendidikan yang terbaik, tidak kira di daerah mahupun bandar dan ini adalah strategi bagi mencapai pembangunan inklusif,” katanya semasa berucap pada Majlis ‘Ngiling Bidai’ Gawai Dayak anjuran DTTAS di Penview Convention Centre (PCC) Demak di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, penubuhan persatuan tersebut sekaligus dapat membantu dari aspek kebajikan, sumbangan idea membangunkan sesebuah kawasan, menjadi ‘suara’ menyalurkan masalah penduduk kepada pihak berkaitan serta menjalinkan kerjasama dalam aktiviti atau perkara yang dirasakan wajar.
“Sejajar dengan matlamat penubuhan DTTAS iaitu memberi motivasi dan menyumbang idea ke arah pembangunan, pendidikan dan kemajuan ekonomi masyarakat Dayak di negeri ini, kerajaan sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana NGO khasnya organisasi yang ditubuhkan di rumah-rumah panjang,’’ ujarnya.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, DTTAS mempunyai kelebihan dari aspek penganjuran program motivasi kerana mempunyai ramai golongan intelektual Dayak dalam bidang tertentu terutama pendidikan dan ekonomi.
Manakala, Timbalan Premier Sarawak itu menasihati penduduk rumah panjang agar menjalin hubungan baik dengan kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menerima pembangunan serta kemudahan yang disediakan di samping memudahkan mereka menyalurkan masalah kepada pihak berkaitan.
Dalam majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada persatuan DTTAS bagi menjalankan aktiviti sepanjang tahun.
Hadir sama ialah isteri Timbalan Premier Sarawak, Datin Amar Dorren Mayang; Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat; Pemangku Pengarah Sarawak Forestry Cooperation (SFC), Pascal Dagang; Pengasas merangkap Penasihat DTTAS, Willie Hendry Majang dan Timbalan Penasihat DTTAS, Diana David Itang. – EDISI UKAS