AHAD, 12 JUN 2022
BELAGA: Penganjuran Pesta Adet Saviek Kajang sangat signifikan dalam menyatupadukan kaum-kaum Kajang yang terdiri daripada lima sub-etnik seperti Kejaman, Sekapan, Punan, Lahanan dan Sihan.
Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Datuk John Sikie Tayai, penganjuran pesta itu juga menjadi platform yang terbaik untuk menyatupadukan kaum yang kecil ini di bawah satu payung di dalam Persatuan Kajang.
Malah katanya, pesta itu juga sebagai satu landasan untuk menonjolkan permainan dan adat kaum Kajang yang pelbagai dan unik dan lain daripada yang lain.
“Pesta seperti ini sangat besar ertinya, di mana ia bertujuan menyatupadukan kaum-kaum Kajang yang terdiri daripada 5 sub-etnik seperti Kejaman, Sekapan, Punan, Lahanan dan Sihan.
“Jadi, acara ini merupakan satu platform yang terbaik untuk menyatupadukan kaum yang kecil ini di bawah satu payung di dalam Persatuan Kajang.
“Pesta ini juga sebagai satu landasan untuk menonjolkan permainan dan adat kita kaum Kajang yang pelbagai dan unik dan lain daripada yang lain,” kata Datuk John Sikie semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Adet Saviek Kajang Peringkat Daerah Belaga di Rumah Kejaman Lasah, Long Segaham pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu menyarankan agar Pesta Saviek dibuat di tempat lain selain dari Belaga untuk mengetengahkan lagi adat-adat kaum Kajang.
Terdahulu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang dalam ucapannya menyeru penduduk di situ untuk menolak ahli politik bermusim dan menyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti yang telah terbukti membawa aspirasi rakyat.
“Berharap dan merayu supaya sokongan itu kita teruskan kerana tidak lama lagi akan diadakan PRU. Jangan merasa was-was dan jangan ragu-ragu, pangkahlah calon GPS yang tidak lain, tidak bukan YB Datuk Wilson Ugak Kumbong.”
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan penduduk di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang lalu sambil menambah Long Segaham merupakan kubu kuat GPS.
Mengenai penganjuran pesta itu, beliau berkata Pesta Saviek merupakan salah satu tradisi Kaum Kajang.
Pada program itu, Datuk John Sikie telah meluluskan peruntukan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Bangsa Kejaman Sarawak, RM10,000 kepada kaum ibu dan RM10,000 kepada Belia Rumah Kejaman Lasah.
Datuk Liwan pula menyumbang sebanyak RM15,000 kepada JKKK Rumah Kejaman Lasah dan RM10,000 untuk kaum ibu.
Selain itu, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon turut menyalurkan RM10,000 kepada pihak penganjur dan RM3,000 kepada kaum ibu. – EDISI UKAS