12,247,202 Pokok Ditanam Setakat 30 Mei Lepas

ISNIN, 13 JUN 2022

KUCHING: Sebanyak 12,247,202 pokok telah ditanam di seluruh Sarawak setakat 30 Mei 2022.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, jumlah tersebut meletakkan Sarawak di kedudukan tertinggi di Malaysia.

“Sebanyak 33,162,534 pokok telah ditanam di seluruh Malaysia setakat 30 Mei lepas dan sekitar satu pertiga daripada jumlah tersebut telah disumbangkan oleh inisiatif negeri ini bagi menangani isu perubahan iklim.

“Sebagai wilayah terbesar di Malaysia, Sarawak mampu bertindak sebagai perintis dalam inisiatif mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kemampanan alam sekitar,’’ ujarnya ketika berucap dalam program ‘Sarawak Energy 10-Year Integrated Tree Planting, Protection and Habitat Restoration’ di Rizab Alam Semula Jadi Sama Jaya di sini pada Isnin.

Tambahnya, selari dengan usaha tersebut, Sarawak mensasarkan jumlah penanaman sebanyak 35 juta pokok menjelang 2025.

Beliau mengulas lanjut, hal ini kerana penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim serta melindungi ekosistem sekitar.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyambut baik pelan 10 tahun Sarawak Energy Berhad (SEB) itu sebagai salah satu usaha yang menyumbang kepada peningkatan tanaman pokok di Sarawak.

Pada program tersebut, Premier Sarawak turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEB dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan tujuan mewujudkan kerjasama berkaitan penanaman serta perlindungan pokok di samping menjalankan pelbagai kajian lain berkaitan projek biodiversiti yang merangkumi aset, fasiliti, lokasi dan kawasan projek dimiliki SEB di seluruh Sarawak.

Individu-individu yang menandatangani MoU tersebut dari pihak SEB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datu Sharbini Suhaili, Naib Presiden Kanan (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar), Marconi Madai dan Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), Siti Aisah Adenan manakala wakil-wakil dari SFC pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Zolkipli Mohamad Aton, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Oswald Braken Tisen dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kedua, Abang Arabi Abang Aimran.

Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni serta Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi. -Edisi UKAS

add comment