16 Pasukan Sertai Liga Bolasepak Zon Tengah Sarawak di Kanowit

ISNIN, 13 JUN 2022

KANOWIT: Sebanyak 16 pasukan telah menyertai pertandingan Liga Bolasepak Zon Tengah Sarawak di Kanowit anjuran Sarawak Central Zone Football League 2022 yang bermula pada 11 Jun hingga 3 September 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penganjuran program seperti ini sangat baik bagi golongan belia setelah dua tahun tiada aktiviti sukan akibat pandemik COVID-19. 

Justeru, beliau berharap agar para belia mengambil kesempatan dengan menyertai kejohanan ini bagi menunjukan bakat mereka agar peninjau bakat di peringkat negeri dapat memantau dan menilai bakat para belia di kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis “Kick-off” perlawanan di antara Fourtynine Ngemah yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah dan Landas yang mewakili Sarikei di Kompleks Sukan Kanowit pada Ahad.

Difahamkan, 16 pasukan yang menyertai pertandingan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap kumpulan ada 4 pasukan yang bertanding dan setiap pasukan akan bertanding dalam liga kumpulan dengan bermain secara ‘home’ dan ‘away’.-EDISI UKAS

add comment