Kawasan Perairan Rajang Jadi Tumpuan Kaki Pancing

ISNIN, 13 JUN 2022

RAJANG: Kampung Rajang mempunyai potensi besar untuk dijadikan pusat aktiviti memancing sekaligus menjadi daya tarikan pelancong domestik dan luar negara, jelas Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.

Menurut Ir Yusuf, kawasan perairan Rajang dan Belawai menjanjikan hasil yang lumayan kepada kaki pancing yang ingin mencuba terutamanya kawasan berhampiran tukun tiruan.

“Keadaan cuaca yang baik, persekitaran yang bersih serta kemudahan yang telah tersedia ada serta kepelbagaian jenis ikan merupakan faktor utama tarikan pengunjung untuk datang ke Rajang untuk memancing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Cabaran Persisiran Rajang edisi ke-3 anjuran Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Galau, Rajang pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau amat menggalakkan para pemancing tempatan didedahkan dengan cara konservasi alam sekitar dan menjaga kebersihan sungai bagi meneruskan kelestarian alam dan menjamin bekalan ikan berterusan.

Sementara itu, seramai 212 orang peserta telah menyertai pertandingan itu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Jeti seramai 96 orang manakala Kategori Perahu seramai 116 orang.

Bagi Kategori Perahu, telah dimenangi oleh Awangku Zainal Abidin Awang Fauzi yang berjaya mendaratkan Ikan Gerot seberat 4.19 kilogram manakala Kategori Jeti telah dimenangi oleh Sabri Morshidi di mana masing-masing membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM1,000.-EDISI UKAS

add comment