Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Semula Bandar Sibu

ISNIN, 13 JUN 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited melaksanakan pelan pembaharuan bandar di Sibu bagi memperkasakan kualiti hidup masyarakat di sana.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari berkata, pelan pembangunan semula itu akan merangkumi kawasan Bukit Assek, Pelawan dan terus ke Bukit Lima.

“Kita kini sedang mengkaji perancangan tersebut dan ia akan menjadi panduan dalam kita membangunkan semula bandar Sibu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Sarawak Energy 10-Year Integrated Tree Planting, Protection and Habitat Restoration’ di Rizab Alam Semula Jadi Sama Jaya di sini pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, pembangunan Bandar Sibu adalah selari dengan usaha kerajaan Negeri untuk capai sasaran meningkatkan ekonomi Sarawak dan juga pendapatan isi rumah menjelang 2030.

Sementara itu, beliau memberitahu, Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima juga akan dinaik taraf selari dengan usaha memperkasakan rizab alam semula jadi di sini.

Ujarnya, rizab tersebut akan diuruskan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

“Selain itu, saya meluluskan RM30 juta untuk menaik taraf Rizab Alam Semula Jadi Piasau manakala satu rizab semula jadi baharu juga dicadangkan di kawasan Bukit Siol, Petra Jaya,” tambah beliau. -Edisi UKAS

add comment