KPM Sentiasa Komited Sediakan Prasarana Sekolah Lengkap Di Sarawak

ISNIN, 13 JUN 2022

BINTULU: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil inisiatif dan terus komited dalam memastikan keadaan prasarana sekolah di negara ini berada dalam keadaan terbaik sejajar dengan kehendak pendidikan masa kini dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat. 

Demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohamad Alamin semasa merasmikan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Sg. Setiam yang merangkumi 6 bilik darjah dan telah pun digunakan. 

Beliau memaklumkan, projek tersebut berjumlah RM2.5 juta iaitu termasuk kos bangunan, perabot serta kelengkapan yang lain. 

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia amat prihatin dan sangat cakna tentang keperluan menaiktaraf sekolah-sekolah daif diseluruh negara termasuk negeri Sarawak.

“Sistem yang digunapakai adalah berdasarkan skala 1 hingga skala 7 manakala pada skala 6 telah mendapat syor daripada pihak JKR supaya dinaiktaraf di mana ianya akan diroboh dan dibina semula.

“Di Sarawak, banyak sekolah yang telah dikenal pasti dengan menggunakan skala-skala ini, malah, dalam RMK12 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4 billion untuk negeri Sarawak. 

“Manakala untuk RP2 sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 Juta di mana projek tersebut sedang dan akan dilaksanakan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Bilik Darjah Baharu SK Sungai Setiam, Bintulu pada Sabtu.

Justeru katanya, aspirasi dan harapan Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menekankan bahawa sekolah-sekolah daif ini terus diberi perhatian dan keutamaan disamping melaksanakan penggantian penuh, membina bangunan-bangunan tambahan dan penyelenggaran dari masa ke semasa.

Katanya lagi, bagi mewakili pihak KPM, beliau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Sarawak di atas kerjasama selama ini dalam melancarkan pelaksanaan projek-projek sekolah daif.

“Kolaborasi yang amat baik dari Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan inilah yang menjadi titik tolak kekuatan ke arah mencapai dan menyelesaikan permasalahan isu-isu sekolah daif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 masing-masing kepada kepada SK Kelawit dan SK Sg. Setiam untuk kerja baik pulih.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Datuk Dr. Haji Azahar Ahmad, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Fred Entau, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh Cikgu Samri Suhaili, wakil kepada Ahli Parlimen P.217 Bintulu Steven Kong Kai Seng, wakil kepada ADUN N.67 Jepak Penghulu Isa Megong dan Guru Besar SK Sg. Setiam Abu Lana Bolhi. – EDISI UKAS

add comment