PBSM, Sarikei Life Care Society Bekerjasama Anjur Program Derma Darah

ISNIN, 13 JUN 2022

SARIKEI: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dengan kerjasama Sarikei Life Care Society telah menganjurkan Program Derma Darah Sedunia bertempat di Dewan Majlis Daerah Sarikei pada Ahad.

Pengerusi PBSM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menjelaskan program itu merupakan salah satu usaha yang positif untuk memberi pendedahan kepada masyarakat serta menyemai sikap menyayangi orang lain dengan menderma darah.

Katanya, program seperti ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak yang terbabit kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Menderma darah adalah sikap yang terpuji dan banyak manfaat, baik kepada diri sendiri mahupun golongan yang memerlukan sumbangan tersebut.

“Usaha kempen menderma darah wajar dipergiatkan pada setiap masa memandangkan hospital dan tabung darah negara sering mengalami kekurangan bekalan darah,” katanya semasa merasmikan program itu.

Ujar beliau, penganjuran program menderma darah juga bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Difahamkan, kesemua darah yang telah berjaya dikutip pada Program ini akan disumbangkan kepada Unit Tabung Darah Hospital Sarikei.

Pada sebelah petang, Datuk Ding berkesempatan menyempurnakan Perasmian Sarawak Central Zone Football League antara STR N.46 Meradong dan Forty Three Daro FC di Kompleks Sukan Bintangor.

Sebanyak 14 pasukan menyertai liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak pada tahun 2022 ini dan pertama kali liga berkenaan diadakan perlawanan secara timbal balik.

Pasukan yang mengambil bahagian terdiri daripada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di setiap kawasan Zon Tengah. – EDISI UKAS

add comment