Pelbagai Projek Telah Dilaksanakan Di Kawasan Lebaan

ISNIN, 13 JUN 2022

MERADONG: Pelbagai projek telah dilaksanakan di kawasan Lebaan di sini yang telah memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad menjelaskan, banyak lagi perubahan akan dibawa di kawasan itu supaya penduduk di situ turut sama menerima arus pembangunan seperti di kawasan-kawasan lain.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Ngiling Bidai Tahun 2022 bagi kawasan Rumah Panjang Teluk Batu, Teluk Bulat dan Bukit Papit di Rumah Petrus Anis, Teluk Batu, Meradong pada Ahad.

Safiee turut mengingatkan masyarakat di rumah panjang di situ untuk mengekalkan perpaduan sedia ada.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyempurnakan perasmian Projek Transformasi Luar Bandar Tahun 2021 iaitu menaiktaraf prasarana Rumah Petrus Anis, Meradong.

Selain itu, beliau turut menyampaikan cek sumbangan kepada lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Papit berjumlah keseluruhan RM46,000. – EDISI UKAS

add comment