Program Kemahiran Anjuran KEMAS Beri Manfaat Kepada Masyarakat

ISNIN, 13 JUN 2022

DEBAK : Pelaksanaan pelbagai program kemahiran anjuran pihak Jabatan Kemajuan Sarawak (KEMAS) dapat memberikan bimbingan dan kemahiran kepada masyarakat. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, beliau berharap program seperti ini dapat membawa perubahan sikap masyarakat, meningkatkan pendidikan dan pengetahuan non-formal kepada masyarakat di luar bandar khususnya. 

Tambahnya lagi, kepentingan program komuniti dan kemahiran KEMAS ini melibatkan enam bidang utama seperti masakan, jahitan, dandanan diri, Pendidikan Kesejahteraan Keluarga, seni tangan dan komputer. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian Penangguhan Program Komuniti dan Kemahiran KEMAS Betong di Dewan Badminton Debak pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam dalam ucapannya memohon agar dipertimbangkan permohonan untuk menambahbaik Pusat KEMAS Debak pada masa akan datang memandangkan KEMAS Debak sudah memiliki salah sebuah pusat kemahiran yang menawarkan kemahiran kecantikan dan komputer. 

Ujarnya lagi, sekiranya dapat dipertimbangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk rancangan tambahbaik tersebut, Kerajaan Negeri akan sedaya upaya mendapatkan tapak baharu bagi menyokong kesinambungan usaha tersebut.

Mohamad Razi dalam pada itu mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak KEMAS Debak kerana telah bertungkus lumus mengadakan program seperti ini dan beliau berharap agar program ini serba sedikit dapat membuka ruang dalam usaha kerajaan merancakkan pemulihan ekonomi khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS 

add comment