Program Semarak Perpaduan, Ngiling Bidai Gawai Pupuk Semangat Kesatuan Kaum Di Sarawak

ISNIN, 13 JUN 2022

BETONG: Program Semarak Perpaduan, Ngiling Bidai Gawai anjuran Kawasan Rukun Tetanggan (KRT) Daerah Betong perlu sentiasa diadakan dalam usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohamad Razi Sitam, terdapat lebih dari 20 etnik di Sarawak, namun masyarakat masih mampu untuk hidup dalam suasana harmoni di bawah satu bumbung.

Mohamad Razi dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perpaduan Bahagian Betong kerana telah menerima sumbangan sebanyak RM588,000 geran peruntukan tahunan untuk diagihkan kepada 98 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Betong. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Semarak Perpaduan, Ngiling Bidai Gawai di Rumah Panjang Belassau, Debak pada Ahad. 

Difahamkan sebanyak RM6,000 akan diagihkan untuk setiap KRT. 

Justeru beliau berharap dengan geran tersebut, pihak KRT di seluruh kawasan kampung akan terus bergiat aktif dalam membantu kerajaan menyemai perpaduan di seluruh pelusuk negara.-EDISI UKAS

add comment