SELASA, 14 JUN 2022
LIMBANG: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Kota, Limbang disaran untuk mempelbagaikan penganjuran aktiviti mereka.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, selain daripada aktiviti sukan, beliau mahu SABERKAS Bukit Kota menganjurkan aktiviti pendidikan, aktiviti ekonomi, pertandingan dan sebagainya.
“Aktiviti-aktiviti tersebut boleh diadakan di peringkat cawangan ataupun diadakan di unit-unit SABERKAS,” katanya dalam Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2022 di Stadium Tertutup Limbang pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu juga berharap golongan belia di daerah Limbang bersama membantu kerajaan dalam memastikan daerah itu menjadi tempat yang baik untuk didiami.
“Saya berharap belia di daerah Limbang sama-sama membantu kerajaan dalam memastikan daerah kita ini menjadi tempat yang baik untuk didiami dan bukannya menjadi tempat yang penuh dengan aktiviti tidak sihat, misalnya dulu dikenali sebagai tempat transit syabu.
“Apabila kita sibuk menyertai aktiviti sukan seperti ini masa lapang belia dapat diisi dengan aktiviti yang sihat dan kita mahu mengubah persepsi masyarakat luar mengenai daerah kita ini.
Ujar Datuk Dr. Abdul Rahman lagi, beliau mahu SABERKAS Bukit Kota untuk lebih aktif dan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.
“Saya berharap 18 unit sedia ada dapat ditambah bilangannya pada Mesyuarat Agong SABERKAS peringkat unit akan datang agar pertubuhan belia ini lebih aktif dan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang,” jelasnya.-EDISI UKAS