Sarawak Tuan Rumah Forum Perniagaan Muslim Global 2022

SELASA, 14 JUN 2022

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada Forum Perniagaan Muslim Global 2022 pada 19 hingga 20 Oktober depan di Borneo Convention Centre Kuching.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, forum tersebut akan menyerlahkan kekuatan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi baharu seperti pengeluaran hidrogen dan juga sektor petrokimia.

“Antara pengisian lain dalam forum itu termasuk pelancaran Majlis Pemimpin Perniagaan Muslim Global untuk menggalakkan kerjasama perniagaan lebih erat terutamanya selepas pandemik COVID-19.

“Manakala, sebuah majlis anugerah untuk kecemerlangan perniagaan dan pencapaian seumur hidup juga akan diadakan semasa program makan malam gala dan sesi perangkaian dan pemadanan perniagaan nanti,’’ katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Bertemakan ‘The Rise of the Global Islamic Economy: Refocusing, Resetting and Recovering in the Post-Pandemic Era’, persidangan perniagaan antarabangsa itu bertujuan mempromosikan dialog berkenaan ekonomi Islam global di samping menggalakkan kerjasama antara kerajaan, ahli-ahli perniagaan serta masyarakat sivil.

Ketua-ketua negara, pemimpin serta tokoh perniagaan dari pelbagai negara Islam khususnya dari rantau Asia akan dijemput untuk memberi ucaptama pada forum itu.

Program tersebut akan dilaksanakan dalam format hibrid di mana penceramah dan peserta diberi pilihan untuk hadir secara fizikal atau maya.

Lebih 1,500 peserta domestik dan juga antarabangsa akan melibatkan diri dalam forum itu termasuk golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana dari Sarawak bagi membentuk kerjasama strategik bersama dengan komuniti perniagaan antarabangsa. -Edisi UKAS 

add comment