Daftar Perniagaan Untuk Nikmati Pelbagai Bantuan Kerajaan

RABU, 15 JUN 2022

SIBU: Usahawan kecil dan sederhana digesa agar mendaftar perniagaan untuk membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak memperuntukkan dana besar untuk membantu peniaga berlesen terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bagi meneruskan perniagaan mereka.

Katanya, antara bantuan-bantuan berkenaan adalah Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief and Recovery Fund (TRRF), PENJANA Tourism Facility (PTF), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) & Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Go Digital.

“Bagi orang yang ada lesen, mereka boleh memohon kerajaan untuk membantu mereka.

“Itulah kelebihannya kalau kita ada lesen termasuk perusahaan kecil dan sederhana ini. Anda tidak perlu membayar faedah, kerajaan negeri yang akan membantu kita membayarnya,” katanya semasa berucap pada program Jum Regista Bisnes (REGISTA) di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu pada Selasa.

Katanya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM5.7 bilion untuk membantu rakyat termasuk peniaga menerusi pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 8.0.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri MINTRED berkata Kerajaan Negeri sedang membangunkan dua taman perindustrian di bawah RMKe-12 iaitu Taman Perindustrian Sibu yang disasarkan untuk aktiviti industri am dan Taman Perindustrian Rantau Panjang Fasa 2 yang disasarkan untuk aktiviti industri perkapalan.

“Taman-taman perindustrian ini dibangunkan bagi tujuan memenuhi permintaan tanah perindustrian di Sibu, dengan menyediakan kawasan perindustrian yang teratur dan kondusif, serta dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan dan perparitan beserta kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

“Buat masa ini kedua-dua projek sedang berada di peringkat kerja awal binaan iaitu pada fasa kerja tanah,” jelasnya.

Tambahnya, MINTRED juga telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sibu untuk menyediakan sebanyak sembilan buah kiosk niaga yang lebih moden, seragam dan bersih serta memberi manfaat kepada penjaja kecil yang beroperasi di pasar malam Sibu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee. – EDISI UKAS

add comment