Expo Pendidikan Daerah Tebedu Pada 25 Jun Ini

RABU, 15 JUN 2022

SERIAN: Expo Pendidikan Daerah Tebedu akan diadakan di Dewan Masyarakat Tebedu pada 25 Jun 2022.

Demikian kata Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw semasa mempengerusikan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu pada Selasa.

Menurutnya, program Expo Pendidikan anjuran bersama Pejabat Daerah Tebedu, Yayasan Sarawak, Pejabat Residen Serian dan Pejabat Pendidikan Daerah Serian itu akan diadakan secara serentak di seluruh Sarawak.

Perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melalui aplikasi ‘Google Meet’, manakala gimik pelancaran expo di lokasi acara pula akan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada.

Jelas Joseph lagi, penganjuran expo ini adalah bertujuan untuk menyebar luas maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan yang disediakan oleh Yayasan Sarawak untuk orang awam khususnya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti awam, swasta mahupun kolej kemahiran di bawah naungan kerajaan Sarawak.

Dalam mesyuarat itu, pihak Yayasan Sarawak telah menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada Pegawai Daerah Tebedu selaku penganjur Program Expo Pendidikan Daerah Tebedu 2022.

Turut hadir ke mesyuarat itu ialah Pengetua SMK Tebedu, Disin Nyaum, wakil Yayasan Sarawak, Zamahari Suut; wakil PPD Serian, Ensnat Sauri, wakil SMK Taee, Samuel Kruger, wakil SMK Tebedu, Samjun Nohan, wakil Pusat Khidmat DUN Tebedu, Pathehi Abdul Rahman, wakil JKR Serian, Thomas Ngadan, Pemanca Kane Manung dan Penghulu Donny Achan. -EDISI UKAS

add comment