Sibu Tuan Rumah Sambutan Hari Sarawak 2022

RABU, 15 JUN 2022

SIBU: Bahagian Sibu dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai depan bertempat di Stadium Tertutup Sibu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sambutan bagi perayaan Hari Sarawak kali ini kembali menemui rakyat secara fizikal selepas dua tahun disambut secara hibrid dan sederhana akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, pelbagai pengisian telah disusun dan diatur oleh Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) untuk sambutan berkenaan.

“Antara yang akan menarik perhatian ialah persembahan khas teater muzikal Rosli Dhobi, lagu khas Hari Sarawak 2022, video khas Hari Sarawak 2022 ”The Lost Kingdom of Sarawak”, persembahan tarian ”Thousand Hand, Thousand Hope” dan persembahan artis tempatan dan artis terkenal negara.

“Jadi, marilah kita beramai-ramai berkunjung ke Stadium Tertutup Sibu pada 22 Julai 2022 pada jam 8 malam bagi meraikan Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Sarawak 2022 di Sibu pada Rabu.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng, Pengarah UPPANS, Azlan Ali Badri, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS), Samuel Simon serta pegawai kerajaan lain.

Dato Sri Fatimah dalam pada itu, menyeru  rakyat Sarawak, khasnya di Bandar Sibu untuk sama-sama mengibarkan bendera Sarawak di premis masing-masing seperti di rumah, bangunan pejabat, bangunan individu dan kedai-kedai sebagai tanda kesyukuran dan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Sarawak kali ini.

Ini kerana ujar beliau, sambutan Hari Sarawak merupakan salah satu acara tonggak utama Kerajaan Sarawak yang diadakan pada setiap 22 Julai bermula pada tahun 2016.

“Acara-acara tonggak kerajaan Sarawak diadakan saban tahun bukan sahaja untuk memperingati tarikh-tarikh bersejarah tanahair, tetapi sambutan tersebut bertujuan bagi menyemai semangat kekitaan, semangat kecintaan dan patriotik terhadap tanahair, bangsa dan negara.

“Tarikh 22 Julai juga telah diisytihar sebagai cuti umum di Sarawak agar tarikh tersebut diingati oleh seluruh rakyat Sarawak sebagai detik penting dalam sejarah bagi menyemarakkan semangat cintakan Sarawak.

“Detik bersejarah ini harus diingati oleh seluruh lapisan masyarakat di Sarawak terutamanya generasi muda masa sekarang kerana pada tarikh tersebut, Sarawak berkerajaan sendiri untuk tempoh kira-kira dua bulan sebelum membentuk Persekutuan Malaysia bersama Sabah (Borneo Utara) dan Tanah Melayu pada ketika itu,” katanya. -EDISI UKAS

add comment