Medan Niaga Matu Siap Sepenuhnya, ‘Hadiah’ Untuk Penjaja

RABU, 15 JUN 2022

MATU: Satu lagi hadiah diberikan kerajaan untuk warga Matu selepas Medan Niaga Matu yang menelan kos pembinaan berjumlah RM500,000 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) telah siap sepenuhnya.

Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Selasa.

Medan niaga berbumbung itu mampu menempatkan sebanyak empat puluh lot di bahagian dalam dan 60 lot untuk kawasan lapang.

Ia mula dibina pada 31 Mac 2021 dengan Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) sebagai agensi pelaksana.

Keutamaan akan diberikan kepada peniaga di sisi jalan di hadapan Klinik Tian untuk berpindah ke dalam Medan Niaga dan mereka juga boleh beroperasi setiap hari.

Kawasan tapak Niaga ini akan digunakan bersama pihak Pasar Tani pada setiap hari Sabtu di mana caj permit harian akan dikenakan kepada peniaga tersebut.

Sementara itu, para peniaga jelas bersemangat kerana mendapat ‘hadiah’ yang begitu bermakna untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan di tempat yang lebih selesa.

Mereka juga berterima kasih kepada kepimpinan Datuk Dr Juanda atas usaha membawa pembangunan demi keselesaan dan kemudahan mereka. – EDISI UKAS

add comment