RABU, 15 JUN 2022
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada rombongan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.
Delegasi seramai 37 orang tersebut melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta dari Singapura yang diketuai Setiausaha Tetap (Pembangunan) MTI Singapura, Lee Chuan Teck.
Perjumpaan selama lebih kurang satu jam itu turut disertai Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Antara yang dibincangkan adalah mengenai peluang mahupun potensi untuk Singapura bekerjasama dengan Sarawak dalam beberapa sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, pencarian dan penyimpanan karbon termasuk kredit karbon.
Selain itu, perkara berkaitan sektor ekonomi digital dan pusat data, pelabuhan, pelaburan dalam keselamatan makanan serta pertanian juga turut menjadi topik perbincangan.
Hadir sama dalam perjumpaan itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Dato Husain, Setiausaha Kewangan Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei, Datu Abdullah Julaihi, Pengurus Besar SMA, Ts. Dr. Zaidi Razak dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. -EDISI UKAS