ADUN Bukit Assek Tinjau Kesesakan Jalan Tuanku Abdul Rahman

KHAMIS, 16 JUN 2022

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek hadir meninjau kawasan yang dilaporkan mengalami kesesakan lalu lintas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart Sibu terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Isnin.

Jelasnya, beliau telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Kanan, Dato Sri Fadillah Yusof berkenaan penaiktarafan jalan tersebut yang telah diklasifikasikan projek menaiktaraf jalan lapangan terbang sebagai projek Red Line yang akan dinaiktaraf mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya(JKR).

Menurutnya lagi, Kerajaan telah memasukkan projek tersebut ke dalam fasa kedua Projek Pan Borneo namun Kerajaan Pakatan Harapan telah membatalkan projek tersebut.

Oleh yang demikian, perbincangan di dalam kabinet untuk mengatasi masalah tersebut telah diadakan dan ianya merupakan berita yang sangat baik buat penduduk di Sibu.

Tambahnya lagi, kesesakan tersebut juga berpunca daripada segelintir ibu bapa yang meletakkan kereta di bahu jalan sepanjang dua lorong tersebut hingga menyukarkan pergerakan trafik di kawasan itu. – EDISI UKAS

add comment