ADUN Daro Serah Geran MRP Kepada 19 Persatuan, NGO Di Daro

KHAMIS, 16 JUN 2022

DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Daro, Safiee Ahmad telah menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM104,000 kepada lapan badan bukan kerajaan (NGO), empat tadika dan tujuh buah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Mini Auditorium Pejabat Daerah Daro pada Selasa.

Semasa penyerahan, beliau menekankan kepada para penerima untuk memanfaatkan sumbangan tersebut bagi mengadakan program ataupun aktiviti yang memberi impak kepada masyarakat sekeliling khasnya.

Dalam pada itu, Safiee menekankan hubungan erat ahli di dalam persatuan amat penting dalam mencapai matlamat yang dikehendaki dan beliau sebagai wakil rakyat sentiasa memberikan sokongan kepada NGO dalam melaksanakan aktiviti di kawasan itu.

Tambahnya lagi, kolaborasi di antara agensi kerajaan dan badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu dieratkan supaya segala program yang hendak dilaksanakan di peringkat kampung dapat berjalan lancar. – EDISI UKAS

add comment