Persefahaman Penjawat Awam Dan Pemimpin Kerajaan Pacu Pembangunan Sarawak

KHAMIS, 16 JUN 2022

KUCHING: Persefahaman dan jalinan kerjasama erat antara penjawat awam dan pemimpin kerajaan Sarawak mampu memacu pembangunan di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkhidmatan awam merupakan ‘sayap’ penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut, kesefahaman antara penjawat awam dan kepempinan negeri juga merupakan platform ke arah mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

“Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi berproduktiviti tinggi,” katanya.

“Menjelang 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi, hasil kerjasama antara perkhidmatan awam dan pemimpin kerajaan.

“Selepas peralihan dari fasa pandemik ke endemik, kali ini kita dapat merayakan Hari Raya dan Gawai secara fizikal,” katanya semasa berucap dalam Majlis Raya-Gawai Jabatan Premier Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.

Tambah beliau, kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19 termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkesempatan mengunjungi gerai-gerai yang disediakan oleh setiap unit di bawah Jabatan Premier Sarawak.

Selain itu, terdapat beberapa aktiviti yang dianjurkan dalam majlis tersebut termasuk cabutan bertuah, pertandingan gerai terbaik dan persembahan tarian dan nyanyian dari Majlis Seni Sarawak (MSS).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion serta barisan Menteri kabinet negeri yang lain.-EDISI UKAS

add comment