Projek Naik Taraf Ban Kampung Segali Siap Sepenuhnya

KHAMIS, 16 JUN 2022

SEBUYAU: Pejabat Daerah Sebuyau bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan mengadakan penyerahan projek yang telah siap kawasan Sebuyau pada Khamis.

Pelaksanaan projek naik taraf ban keliling Kampung Segali di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) telah siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Segali Sebangan.

Penyerahan projek siap IRSDA tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Sarawak, Ajis Ahmad, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi kepada Ketua Kaum Kampung Segali, Abu Bakar Abdul Wahab dan disaksikan oleh wakil jurutera DID Bahagian Samarahan, Rajis Nanying.

Dalam pada itu, projek yang dilaksanakan bermula 18 November tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 18 Mei 2022 dengan kos sebanyak RM151,444.10.

Sementara itu, Abu Bakar Abdul Wahab mewakili penduduk kampung merakamkan penghargaan di atas usaha kerajaan Sarawak menerusi Datuk Julaihi Narawi yang bekerja keras membawa pembangunan di kawasan Sebuyau.

Tambahnya, beliau berharap agar projek tersebut dapat memberi manfaat jangka masa panjang kepada penduduk di Kampung Segali Sebangan. -EDISI UKAS

add comment