Tapak Projek Rakyat Bina Baru Masjid Kampung Tebaang Daro Dikenalpasti

KHAMIS, 16 JUN 2022

DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad bersama beberapa agensi yang terlibat telah mengadakan lawatan untuk menentukan Tapak Projek Bina Baru Masjid Kampung Tebaang Daro pada Selasa.

Sehubungan itu, Safiee ketika ditemui berkata sebanyak RM4.6 juta telah diperuntukkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di bawah Projek Rakyat.

Projek tersebut adalah bagi mengantikan Masjid Lama Kampung Tebaang yang mana struktur bangunannya yang telah uzur dan memerlukan bangunan masjid yang baru.

“Pada hari ini telah dipersetujui dan mengenalpasti tapak yang sesuai dan tapak ini dilihat agak strategik yang berada di tepi jalan utama.

“Masjid yang akan dibina ini mempunyai kapasiti yang besar dan dapat menampung kedua-dua buah kampung ini dan juga warga-warga yang bekerja di kawasan perladangan yang berhampiran,” jelasnya lagi.

Kampung Tebaang mempunyai dua buah kampung iaitu Kampung Tebaang Hulu dan Kampung Tebaang Hilir yang sedikit jauh daripada Pekan Daro.

Tambah beliau lagi, reka bentuk masjid ini akan lebih menarik dan ianya akan menjadi satu tarikan lagi untuk kawasan ini khususnya bagi penduduk Kampung Tebaang ini sendiri.

Turut hadir Pegawai Pejabat Daerah Daro, Madihi Musa, Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS Bahagian Mukah, Ustaz Awang Yusshamry Awang Yusof dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, Nurizatulsima. – EDISI UKAS

add comment