Kempen Kesedaran Pindahkan Rekod Penting Ke Pustaka Perlu Dipergiat

JUMAAT, 17 JUN 2022

SIBU: Pustaka Negeri Sarawak disaran agar mempergiatkan kempen kesedaran dan peringatan secara berterusan kepada kementerian dan agensi kerajaan supaya memindahkan rekod-rekod penting ke Pustaka bagi tujuan keselamatan, pemeliharaan dan rujukan penyelidik.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata ia perlu untuk mengelak berlakunya kes kehilangan rekod-rekod penting yang bernilai atau di mana rekod-rekod tersebut amat diperlukan untuk menjadi bahan bukti pentadbiran dan undang-undang serta mempunyai nilai sejarah masih lagi tersimpan di kementerian dan agensi tanpa diketahui kewujudannya.

Dalam hal ini tegasnya, pihak kementerian dan agensi-agensi kerajaan hendaklah sentiasa bekerjasama dan berhubung dengan Pustaka Negeri Sarawak untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam pelaksanaan pengurusan rekod dari segi sistem fail, penyimpanan dan pelupusan rekod.

“Pengurusan maklumat dan rekod di kementerian juga telah menjadi kaedah yang penting bagi menjamin kesinambungan institutional memori dan memantapkan operasi seharian kementerian.

“Amalan terbaik dan inovasi dalam pengurusan rekod juga telah banyak dilaksanakan secara dalaman yang tidak melibatkan sebarang kos.

“Ini telah menyelesaikan masalah dan seterusnya memberi impak yang besar dari segi sumber manusia, kewangan, masa dan proses kerja seharian,” katanya berucap semasa Majlis Penyampaian Anugerah & Penghargaan Pengurusan Rekod Dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (Peringkat Kementerian 2021) di Pustaka Negeri Sarawak Sibu pada Jumaat.

Katanya, amatlah rugi sekiranya agensi menguruskan berjuta-juta peruntukan setahun namun sistem pengurusan rekodnya tidak terurus dengan baik.

Dalam hal ini, beliau memuji komitmen Pustaka Negeri Sarawak dengan menganjurkan majlis tersebut sebagai usaha membudayakan tadbir urus pengurusan rekod terbaik di peringkat kementerian dan agensi-agensi kerajaan Sarawak.

“Majlis Penyampaian Anugerah Penilaian dan Penghargaan Pengurusan Rekod Dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (Peringkat Kementerian) 2021 pada tahun ini merupakan kali yang kedua penganjurannya dengan matlamat utamanya, untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada kementerian-kementerian Kerajaan Sarawak yang telah melaksanakan tadbir urus pengurusan rekod terbaik dan juga Anugerah Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) Terbaik.

“Penganjuran majlis ini menunjukkan komitmen Pustaka Negeri Sarawak untuk terus membudayakan tadbir urus pengurusan rekod terbaik di peringkat kementerian dan agensi-agensi kerajaan Sarawak,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dalam ucapan aluannya berkata tumpuan utama PUSTAKA pada masa kini adalah untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam tanpa mengira medium samada secara fizikal mahupun dalam talian.

Katanya, ia juga seiring dengan perkembangan teknologi terkini dan norma baharu, perkhidmatan kepada rakyat harus menjadi lebih mudah dan cepat.

Tambah beliau, tadbir urus yang terbaik atau ‘good governance’ adalah penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dapat dicapai.

Jelasnya lagi, pengurusan rekod yang efisien dan baik menjadi kunci utama dalam sesebuah organisasi, tidak mengira kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta mahupun persendirian.

Sebanyak 11 kementerian di Sarawak menerima Anugerah Penilaian dan Penghargaan tersebut iaitu Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti dan Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Kategori Kementerian Terbaik telah dimenangi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak manakala Kategori Kementerian Harapan telah dimenangi oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kategori Pegawai Rekod Jabatan Terbaik pula diberikan kepada Siti Sholyana Isnani dari Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – EDISI UKAS

add comment