Kesetiaan, Komitmen Sayap Wanita Penting Bagi PBB

JUMAAT, 17 JUN 2022

KUCHING: Kesetiaan dan komitmen dalam sayap wanita amat penting bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Pergerakan Wanita PBB di bawah kepimpinan Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah telah menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam apa jua keadaan, terutama semasa pilihan raya negeri lepas.

“Oleh itu, teruskan perpaduan dan tabah dalam membangun sayap wanita dan teruskan usaha menarik minat wanita untuk terlibat dalam arus perdana politik,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Dan Pemuda PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Bercakap mengenai Pemuda PBB, Datuk Amar Douglas yang juga Timbalan Premier Sarawak menambah, mereka merupakan barisan hadapan yang diharapkan untuk menjaga dan memelihara parti.

“Pemuda sentiasa menjadi barisan hadapan dalam semua perjuangan kita semenjak penubuhan parti PBB.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kita kepada Dato Gerald Rentap Jabu kerana telah berjaya memimpin Pemuda PBB setakat ini,”ujar beliau lagi.

Katanya lagi, Wanita dan Pemuda perlu untuk berkerjasama dan memperkasakan didikan dan latihan politik untuk ahli demi meningkatkan keyakinan diri dan semangat perjuangan dalam PBB.-EDISI UKAS

add comment