PBB Komited Bawa Golongan Belia Sertai Parti Berkenaan

JUMAAT, 17 JUN 2022

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak amat komited untuk membawa golongan belia menyertai parti berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, cadangan untuk menubuhkan Pergerakan Belia PBB akan dibahaskan dalam perhimpunan agung kelak.

“Kita akan pinda perlembagaan parti kita untuk membenarkan Pergerakan Belia PBB yang akan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Dan Pemuda PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Terdahulu, semasa berucap dalam majlis perasmian itu, Datuk Amar Douglas yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, dengan 66 peratus pemilih berdaftar terdiri daripada mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 29 tahun, PBB perlu mengambil peluang dan bertindak dengan cepat untuk mengambil mereka menyertai PBB.

“Setakat 31 Disember 2021, Sarawak merekodkan sejumlah 1,927,750 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu 675,077 adalah pemilih baru.

“Daripada jumlah itu, 20 peratus jumlah pemilih berdaftar berusia 19 ke 20 tahun manakala 45 peratus pemilih baru adalah diantara 21 hingga 29 tahun dan 19.23 peratus berusia 30 hingga 39 tahun.

“Ini bemakna 66 peratus pemilih berdaftar baru adalah berusia 18-29 tahun.

“Golongan mereka ini dikenali sebagai Generasi Z yang menggunakan telefon, internet, media sosial dan lain-lain lagi.

“Jadi untuk kita dalam PBB ini, pastikan kita menjemput mereka untuk menyertai PBB, bagi bukan bumiputera mereka boleh sertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Kalau kita tidak melamar mereka, mereka akan pergi ke parti lain,”jelas beliau lagi.

Antara yang turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan adalah Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Presiden Kanan PBB, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung PBB, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato’ Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Dato’ Gerald Rentap Jabu.-EDISI UKAS

add comment