Dedikasi Seorang Guru Wajar Dikenang Sepanjang Hayat

SABTU, 18 JUN 2022

SARIKEI : Kesungguhan seorang guru mendidik dalam anak bangsa amat besar nilainya dan wajar dikenang sepanjang hayat, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Menurutnya, sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun merupakan satu-satunya cara terbaik untuk memberi ruang menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

“Dengan peluang ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang selama ini amat prihatin terhadap pembangunan pendidikan Sarawak sekali gus melonjakkan lagi mutu pendidikan di Sarikei,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei pada Jumaat.

Dalam majlis itu, Dato’ Sri Huang telah menyumbang sebanyak RM10,000 di bawah projek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan RM10,000 untuk pembelian LCD sebagai kegunaan sekolah.

Sejurus selepas itu, Dato’ Sri Huang hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Baharu dan Pelanjutan Semula Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan DUN Repok di Pejabat Residen Bahagian Sarikei.

Jelasnya, pemimpin masyarakat membawa peranan penting dan mempunyai tugas yang amat mencabar dalam membimbing masyarakat di peringkat akar umbi dalam segala aspek.

Sementara itu, seramai empat orang KMKK baru dilantik manakala 29 orang lagi dilanjutkan perkhidmatan mereka semula di bawah kawasan masing-masing.

Beliau menyeru kepada semua KMKK yang terpilih sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin dengan penuh komitmen dan integriti yang tinggi supaya program dan projek pembangunan di seluruh Sarikei diurus dengan sebaik mungkin.

“Semoga semua dapat terus memberi komitmen yang tinggi seiring dengan perubahan semasa berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik kerana kesejahteraan dan keharmonian rakyat mestilah menjadi keutamaan kita.”-EDISI UKAS

add comment