Majlis Ngiling Bidai 2022 PPD Kanowit Erat Silaturahim Guru Dan Komuniti

SABTU, 18 JUN 2022

SIBU: Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit telah mengadakan Sambutan Hari Gawai Dayak dengan menganjurkan Majlis Ngiling Bidai 2022 di Hotel Kingwood, Sibu pada Jumaat.

Penganjuran program itu juga adalah untuk mengumpul dana bagi melaksanakan aktiviti PPD Kanowit sepanjang tahun.

Hadir memeriahkan majlis Timbalan Menteri Kesihatan II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurutnya, penganjuran program seperti ini adalah baik untuk mengeratkan hubungan bukan sahaja untuk para guru tetapi juga dengan komuniti yang ada.

“Tahniah kepada PPD Kanowit yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dan berharap agar keputusan peperiksaan bagi Daerah Kanowit kekal cemerlang pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kanowit, Sektor Perancangan, Joseph Jabu berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 adalah yang terbaik di Kanowit.

“Sebanyak tiga buah Sekolah Menengah menunjukkan peningkatan layak mendapat sijil 95.45% dan untuk GPS 4.83, dan keputusan yang baik ini adalah kerana peranan semua pihak,” jelasnya.

Dalam majlis itu, turut disaji persembahan daripada Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Sibu (KEMADA) serta cabutan tiket bertuah untuk semua kakitangan PPD Kanowit.-EDISI UKAS

add comment