SABTU, 18 JUN 2022
LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) mewakili Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Sarawak telah mengadakan Kempen Pencegahan Denggi dan Basmi Tikus ini di Daerah Limbang bertempat di Pejabat PPWS, Bahagian Limbang, Kampung Bunga pada Khamis.
Kempen ini adalah hasil kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Bahagian Limbang dan pelancaran kempen itu dimulakan di Kampung Bunga Raya serta kawasan Bangunan Tamu Limbang.
Turut menjayakan kempen tersebut adalah peniaga-peniaga di Tamu Limbang, Ahli-Ahli Majlis dan penduduk Kampung Bunga Raya, Limbang.
Antara objektif kempen adalah untuk meningkatkan kesedaran sivik masyarakat dan membudayakan amalan penjagaan kebersihan kawasan persekitaran terutamanya di kawasan kediaman dan premis-premis niaga di Daerah Limbang yang telah bermula pada 8 hingga 24 Jun 2022.
Justeru, masyarakat diseru agar memelihara dan menjaga kebersihan persekitaran supaya dapat membantu perkembangan ekonomi masyarakat di kawasan itu dengan kehadiran para pelancong dari dalam dan luar Limbang.
Dalam pada itu juga, pengusaha kedai perlu memainkan peranan untuk memastikan premis mereka adalah sentiasa bersih daripada tempat pembiakan tikus.
Kempen ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada semua lapisan masyakarat di samping menjaga kesihatan dan keselamatan.
Hadir sama pada kempen itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Komuniti yang mewakili Walikota MDL Kaunselor Frederick Lalung Ngilo, Pen. Setiausaha Majlis Daerah Limbang Syamil Jumain, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian LimbangDr Aslam Ariffin dan Ketua Kampung Bunga Raya Limbang Adanan Hamdan. – EDISI UKAS