Pelaksanaan Projek Di Sarawak Cepat, Pesat & Menyeluruh

SABTU, 18 JUN 2022

KUCHING: Pelaksanaan projek di negeri ini telah berlaku dengan cepat, pesat dan menyeluruh.

Timbalan Yang Di Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, segala pelaksanaan projek pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan sumber dana tambahan yang diperolehi oleh kerajaan.

“Sarawak berjaya melaksanakannya kerana  mendapat sumber melalui Cukai Jualan untuk Minyak Mentah dan Gas dan dari tahun 2019 hingga sekarang Sarawak telah dapat mengutip sebanyak RM8.54 billion.

“Selain itu, Sarawak juga mempunyai dana alternatif melalui Development Bank of Sarawak (DBOS). DBOS telah melulus dana sebanyak RM9.7 billion dan dana ini adalah melebihi belanjawan biasa negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Menurut Timbalan Premier Sarawak itu lagi, semua pencapaian itu disebabkan PBB dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipimpin oleh seorang pemimpin yang berkebolehan, berintegriti, berwawasan, berani, tegas dan pintar mencari punca hasil untuk Sarawak.

“Pemimpin ini adalah Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

” Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, kami semua berterima kasih atas jasa dan kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.

“Kepimpinan beliau telah meletak Sarawak sebagai satu negeri, satu wilayah yang dihormati di rantau ini sehingga beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan di Singapura,” ujar Datuk Amar Douglas lagi. -EDISI UKAS

add comment