AHAD, 19 JUN 2022
BAU: Daerah Bau telah dipilih sebagai tuan rumah untuk program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Kebangsaan sempena Sambutan Hari Denggi Asean Peringat Negeri Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep telah melakukan pemantuan ke lokasi program anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Majlis Daerah Bau (MDB) itu pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru ketika ditemui media memberitahu, sebanyak lapan zon telah dibahagikan di sekitar Bandar Bau dalam program yang dilakukan secara serentak melibatkan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung terdekat.
Menurutnya, program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran ramai peserta.
“Kita menyambut baik usaha dilakukan Pejabat Daerah Bau, Pejabat Kesihatan daerah Bau, JKNS dan juga MDB kerana sama-sama membawa rakyat Bau untuk mengadakan program ini,” katanya.
Tambahnya, dalam merancakkan pembangunan di daerah ini, kebersihan kawasan sekitar juga harus dijaga untuk menghindari pembiakan nyamuk aedes demi menjaga keselamatan rakyat dan para pengunjung ke bandar ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam; Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kawalan Penyakit Bawaan Vektor JKNS, Dr. Irwilla Ibrahim dan Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Song Ting Hii.-EDISI UKAS