Penggunaan Bahasa Inggeris Terus Ditekankan Di Sarawak

AHAD, 19 JUN 2022

SRI AMAN: Bahasa Inggeris masih boleh digunakan di Sarawak termasuk dalam sebarang urusan rasmi kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan memberitahu, Premier Sarawak telah memberi jaminan bahawa tiada masalah akan timbul akibat penggunaan bahasa tersebut oleh kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.  

“Hal ini penting kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantara yang digunakan oleh pelbagai pihak di peringkat antarangsa,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jerayawara Ulang Tahun Ke-10 Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di Hotel Seri Simanggang di sini pada Sabtu.

Menyentuh berkenaan jerayawara itu, Datuk Snowdan yang juga Bendahari TEGAS menjelaskan, TEGAS ditubuhkan pada 28 Februari 2012 sebagai platform mempromosikan pendidikan teknikal dan vokasional serta mendedahkan orang ramai kepada peluang kerja dalam bidang teknikal.

“Pada tahun 2017 pula, TEGAS diamanahkan oleh Premier Sarawak untuk menerajui bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), keusahawanan, dan inovasi digital demi memperkembangkan ekosistem Sarawak.

“Antara program yang telah memberi impak di kawasan ini termasuk ‘Project Of Dream Realized Roadshow (PRO-Dr) di mana golongan belia mendapat peluang untuk menerokai pelbagai pilihan pendidikan dan kemudahan bantuan pendidikan di luar bandar,’’ tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Azrein Julaihi; Pegawai Tadbir mewakili Residen Bahagian Sri Aman, Ramon Ambrose serta Pengurus Kanan TEGAS Innovative Learning Centre, Fredick Kevin. – Edisi UKAS

add comment