Pusat Digital Komuniti Kembangkan Sektor Ekonomi Sarawak

AHAD, 19 JUN 2022

KUCHING: Sebuah Pusat Digital Komuniti dicadang untuk diwujudkan di Sarawak dalam usaha mengembangkan lagi sektor ekonomi negeri ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr Sabariah Putit berkata, ia selaras dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk meningkatkan lagi tahap ketersambungan masyarakat di Sarawak.

“Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari sentiasa memastikan kemudahan di Pusat Digital Komuniti negeri ini lengkap.

“Beliau juga mengarahkan agar sebuah pusat utama bagi digital komuniti dibangunkan di Sarawak,” katanya semasa sesi ‘Perkongsian Kejayaan Peserta’ menerusi Program Accelerate anjuran The Asia Foundation pada Sabtu.

Program yang diadakan melalui aplikasi Zoom itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan Sarawak dalam membangunkan agenda ekonomi digital.

Pada masa sama, ia juga dilaksanakan bagi membantu usahawan wanita di seluruh Malaysia untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Program ini dapat memberi bantuan dan bimbingan yang diperlukan serta perkongsian daripada para pelatih untuk memastikan usahawan baharu sentiasa bergerak ke hadapan,” tambah beliau.

Program Accelerate yang dilaksanakan oleh Startup Malaysia ini merupakan kerjasama di antara kerajaan Sarawak, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Graduates Enhancement Training (GETS), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), PUSTAKA Negeri Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Prestasi (SCOPE) Sarawak sebagai Rakan Komuniti.

Seramai 18 peserta telah menyertai sesi perkongsian kejayaan dan latihan bagi program tersebut yang telah dijalankan selama 48 hari.

Turut mengikuti sesi berkenaan ialah Timbalan Ketua Saintis dan Timbalan Ketua Penasihat SMA, Prof. Ir. Ts. Dr Al-Khalid Othman.-EDISI UKAS

add comment