RWMF Pamer Keunikan Budaya Bumi Kenyalang, Jadi Tumpuan Pelancong Dari Seluruh Dunia

AHAD, 19 JUN 2022

KUCHING: Selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun yang lalu, kini Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 kembali dianjurkan secara hibrid dari 17 hingga 19 Jun pada tahun ini. 

Selain persembahan muzik, festival tersebut juga meneruskan tradisinya dengan menawarkan pelbagai pengisian siri bengkel amali seperti pameran budaya, tarian, makanan tradisi dan permainan tradisional dari setiap kaum etnik yang ada di Sarawak khususnya.

Dalam pada itu, festival pada kali ini kembali diadakan lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan melibatkan persembahan muzik Sarawak seperti Alena Murang, Kemada, Sang Rawi, At Adau, Tuku Kame, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan Mathew Ngau bertempat di Kampung Budaya Sarawak di sini. 

Menurut Curtis Page yang berasal dari England, beliau sangat teruja dengan budaya yang ada di Sarawak dan penganjuran RWMF kelihatan ini sangat mengalu-alukan kedatangan beliau.

“Festival Ini berbeza berbanding mana-mana festival lain dari segi muzik dan suasananya juga turut meriah, malah semua orang berasa begitu terpikat dengan kepelbagaian budaya terutamanya di sarawak,” katanya ketika ditemubual oleh wartawan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS). 

Selain itu, pengunjung dari Johor, Hambali berkata, penganjuran festival itu semestinya platform yang sesuai bagi mempromosikan Bumi Kenyalang ke mata dunia.

“Kita dapat melihat kemeriahan di kampung budaya kembali lagi setelah dua tahun tidak diadakan secara fizikal dan acara ini sangat bagus diadakan untuk mempamerkan budaya masyarakat sarawak lebih-lebih lagi kepada masyarakat di luar sana,” ujarnya.

Sehubungan itu juga, Pengarah Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022, Mona Abdul Manap turut berpendapat sambutan daripada pengunjung yang datang ke festival itu sangat menggalakkan dan adalah di luar jangkaan.

“Beberapa hari ini, dianggarkan sekitar 12,000 ke 15,000 orang pengunjung turut serta dalam pelbagai bengkel budaya yang diadakan dengan semua slot aktiviti berkenaan semua penuh serta mendapat sambutan positif dari pelbagai pihak,” jelasnya. -EDISI UKAS

add comment